Kenali alat kelamin wanita

Kata orang, wanita lebih gemar bercakap berbanding lelaki yang memilih untuk mendengar. Dan jika wanita diberikan peluang untuk bercakap, mereka boleh menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk berbicara perihal datang bulan, kehamilan, proses kelahiran, pantang, menyusukan bayi dan kerenah anak-anak yang membesar di hadapan mata.

Namun, apa yang dikesalkan, ada juga yang tidak segan silu bercerita kisah-kisah di dalam kelambu bersama suami secara terperinci walaupun ia sepatutnya menjadi aib dan eksklusiviti mereka berdua sahaja.

Kiranya, adalah lebih berfaedah jika mereka membincangkan tentang kesihatan dan penjagaan alat kelamin seperti vulva dan faraj secara ilmiah kerana ia boleh membantu mencegah jangkitan dan ketidakselesaan yang dialami, boleh dikatakan hampir setiap wanita pada satu-satu ketika dalam hidup mereka.

Bukan wanita sahaja, apatah lagi lelaki juga seakan takut dan cuba mengelak daripada menggunakan istilah vulva, mungkin disebabkan oleh bunyinya yang agak teknikal dan bercirikan perubatan.

Menyenangkan keadaan, kebanyakan daripada kita merujuk vulva sebagai vagina atau faraj sahaja. Rasa-rasanya, membuat kesimpulan umum seperti itu adalah lebih mudah walaupun itu sama sekali lain maknanya.

Yang sebenarnya, faraj merupakan salah satu daripada bahagian vulva. Tidak ada seorang pun, kecuali doktor, yang boleh melihat faraj wanita, lebih tepat ke dalam faraj wanita, dengan mata kasar mereka.

Malah, doktor sekalipun hanya dapat berbuat demikian jika ada bantuan alat khas yang dipanggil spekulum semasa menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas wanita.

Kenapa kita perlu berbincang isu ini bukanlah sekadar semantiknya sahaja tetapi kesedaran mengenainya yang jauh lebih berkurangan berbanding masalah payudara atau pangkal rahim yang lebih popular dan kini, bukan satu lagi misteri seperti vulva.

Wanita perlu prihatin terhadap sebarang perubahan yang terjadi kepada vulva mereka seperti kulit dinaiki tompok kemerah-merahan atau putih, vulva terasa gatal, sakit, terdapat benjolan atau luka.

Walaupun kebanyakan simptom-simptom tersebut bukan berkanser seperti yang lazimnya mungkin kita bimbangi, namun adalah penting untuk merujuk apa jua keabnormalan yang ketara kepada doktor, pada peringkat awal lagi.

Sekiranya anda juga tidak begitu pasti apakah yang dimaksudkan dengan kesihatan vulva, itu mengukuhkan lagi alasan kenapa anda perlu mengetahui lebih lanjut tentangnya.

“Vulva adalah istilah untuk bahagian luaran genitalia atau alat sulit seseorang wanita. Dengan kata lain, ia satu anatomi bahagian yang jelas kelihatan tanpa menggunakan apa-apa bantuan.

“Masalah di bahagian ini lazimnya tidak serius, tetapi pengabaiannya mungkin menyukarkan perawatan yang akan diberikan,’’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.

Seseorang itu boleh membantu diri sendiri dengan melakukan pemeriksaan sendiri vulva seperti yang dilakukan untuk payudara, ujar beliau.

Anatomi vulva

Sebagaimana pemeriksaan payudara, kulit atau muka untuk kelainan dan keabnormalan, begitu juga pada vulva, inisiatif pemeriksaan sendiri juga dibuat.

Sebagai sokongan kepada orang tersayang, suami juga boleh saling membantu. Cermin boleh digunakan untuk melihat imej vulva tanpa perlu membongkokkan badan.

- Vulva; bahagian luaran genitalia, dua pasangan lipatan berdaging mengelilingi bukaan faraj dan uretra untuk membuang air kecil dan menjulur ke depan hingga ke klitoris

- Mons veneris; bahagian di antara tulang pubik (tulang yang boleh dirasai apabila menyentuh bahagian bawah abdomen) dan hujung atas genitalia atau organ-organ pembiakan

- Labia majora; bibir luar yang lebih besar/tebal

- Labia minora; bibir sebelah dalam yang lebih kecil/nipis

- Klitoris; bahagian atas bibir yang hampir ke mons veneris yang memberikan rangsangan seksual, hampir sama dengan penis. Sebahagian daripadanya dilitupi oleh tisu penutup

- Perineum; bahagian di antara dubur dan faraj

- Vestibul; kaviti yang terletak pada tempat masuk ke suatu bahagian berongga. Pada vulva, ia merupakan satu bahagian di sebelah dalam labia minora di mana ada pembukaan uretra di bahagian atasnya dan pembukaan faraj di bahagian bawahnya.

Apa perlunya pemeriksaan sendiri

Sekiranya anda melakukan pemeriksaan sendiri alat sulit, Dr. Shah Reza memberitahu, mungkin gejala atau petanda awal penyakit berjaya dikesan.

“Puan adalah pengamat terpenting untuk apa-apa kelainan pada diri sendiri. Suami juga boleh membantu sekiranya sukar untuk melakukannya sendiri.

“Perubahan mungkin petanda awal sesuatu yang lebih serius lebih-lebih lagi sekiranya puan pernah mempunyai sejarah keabnormalan vulva yang pernah dirawat. Tanda-tanda tersebut mungkin kanser.’’

Perhatikan perkara-perkara berikut semasa pemeriksaan:

- Kemerah-merahan

- Benjolan atau ketumbuhan

- Tompok-tompok kulit sama ada gelap atau cerah

- Lepuh atau gelembung pada kulit atau mana-mana bahagian

- Butir-butir atau bengkak-bengkak

- Mana-mana perubahan yang tidak pernah anda lihat sebelum ini.

- Anda juga mungkin merungut gatal, berdarah, ketidakselesaan dan rasa panas seperti terbakar.

Anda boleh memeriksa vulva dengan cara-cara berikut:

1. Basuh tangan terlebih dahulu dan keringkannya. Berbaring atau duduk dengan selesa, gunakan cermin tangan dengan permukaan yang besar supaya imej dapat dilihat dengan lebih jelas.

Jika mengalami kesukaran, anda boleh mencangkung atau melutut. Yang pentingnya, anda boleh melihat dengan jelas bahagian vulva, perineum dan juga dubur.

2. Dengan lembut, pisahkan kedua-dua labia majora ke sisi. Perhatikan sekiranya ada apa-apa kelainan.

3. Kemudian, pisahkan labia minora ke sisi, perhatikan pada dan juga sekeliling pembukaan faraj, perhatikan sekiranya ada keganjilan.

4. Dengan lembut, tarik ke belakang penudung kelentit, periksa dengan teliti kawasan di bawah penudung dan juga pada hujung kelentit.

5. Pastikan juga pemeriksaan dibuat pada kawasan mons veneris, di luar kawasan labia majora, kawasan dubur, perineum dan juga sekitar bukaan uretra.

Dr. Shah Reza menyarankan: “Sekiranya sukar, mungkin disebabkan oleh postur badan yang tidak mengizinkan, dapatkanlah bantuan suami.

“Begitu juga dengan suami. Mereka boleh melakukan pemeriksaan sendiri testis atau dengan bantuan isteri, jika mengalami kesukaran.’’

Pencegahan dan penjagaan vulva

- Pastikan vulva berada dalam keadaan kering dan bersih

- Jangan memakai seluar dalam ataupun seluar pendek yang ketat. Gunakan seluar dalam jenis kapas supaya kelembapan dapat diserap

- Kalau mahu menggunakan pantyhose, pastikan bahannya di bahagian kelangkang diperbuat daripada jenis kapas serap

- Elakkan penggunaan pad ataupun tampon yang berdeodoran (mengandungi wangian) ataupun berlapikkan plastik

- Elakkan daripada menggunakan sabun yang berbau wangi di sekitar kawasan vulva

- Elakkan penggunaan kertas tandas yang mengandungi bahan pewangi

- Jangan memasukkan cecair ke dalam faraj, elakkan penggunaan bedak dan juga pewangi di vulva

- Jangan gunakan pakaian ketat semasa tidur, gunakanlah baju tidur yang longgar sahaja

Jenis-jenis masalah vulva

* Radang pada kulit (dermatitis) di mana berlakunya iritasi atau radang pada kulit vulva. Kemerahan dan kegatalan terjadi.

Doktor akan bertanyakan mengenai apa-apa objek yang telah menyentuh kulit di vulva, jenis bahan pakaian yang dipakai dan sebagainya. Banyak contoh-contoh bahan yang boleh menyebabkan keradangan vulva seperti tisu tandas berwarna dan mengandungi wangian, baju renang dan juga pakaian dalam, pelembut fabrik, sabun dan juga jenis pencuci yang digunakan.

Boleh jadi juga ia berpunca daripada bedak talkum, pad yang mengandungi wangian, bahan-bahan spermisidal yang digunakan untuk perancangan keluarga serta sentuhan dengan produk hasil getah seperti kondom.

Atau, mungkin juga kerana anda telah tersentuh dengan tanaman-tanaman di taman, hutan dan lain-lain ketika sedang aktif bersukan dan sebagainya.

* Infeksi atau jangkitan kulat (yis); merupakan satu infeksi yang biasa dan faraj juga tidak terlepas.

“Rungutan yang lazim adalah seperti kemerahan, kegatalan, discaj atau lelehan putih berketul-ketul. Kadang-kadang rasa sakit bila memulakan kencing.

“Rawatannya dilakukan dengan memasukkan ubat ke dalam faraj, ada juga yang dimakan sekiranya terlalu serius,’’ kata Dr. Shah Reza.

* Infeksi oleh kuman-kuman dari penyakit yang ditularkan melalui hubungan seks – penyakit tularan ini juga boleh melibatkan vulva. Biasanya ketuat genitalia dan herpes genitalia, yang sering menyerang vulva.

1. Ketuat genitalia (condyloma) disebabkan oleh virus papilloma. Ketuat ini mungkin sebiji-sebiji ataupun bergabung menjadi seperti bunga kubis. “Kulit pada bahagian vulva tidak menjadi lembut dan rata. Apabila dipegang rasanya seperti timbul, ketuat berwarna kemerahan, mungkin sakit bila disentuh dan kadang-kadang gatal.

“Rawatannya boleh dengan ubat yang disapu setempat pada ketuat ataupun jika terlampau banyak, pembedahan kecil diperlukan untuk membuang lesi-lesi tersebut.

2. Herpes genitalia berpunca daripada virus herpes. Ia menyebabkan luka-luka berbentuk ulser, gelembung-gelembung dan tompok-tompok yang menyakitkan.

Ia boleh menyerang untuk beberapa hari dan juga berminggu-minggu. Episod pertama infeksi adalah lebih teruk berbanding infeksi yang datang kemudiannya. Kehadirannya menyakitkan, tidak selesa dan menggatalkan.

Herpes genitalia tidak ada perawatan, cuma ada ubat yang boleh mengawal serta mengurangkan rungutan serta komplikasi.

* Vulvodynia, iaitu sakit pada vulva yang digambarkan sebagai terbakar, macam disengat-sengat, iritasi atau panas meradang dan juga rasa seperti disiat-siat.

“Doktor akan mengambil sampel dalaman faraj dan juga biopsi ke atas vulva mungkin disyorkan. Kalau infeksi, perawatan antibiotik akan diberikan. Untuk melegakan rungutan semasa, doktor akan memberi ubat sementara menunggu kepastian diagnosis.’’

* Distrofi vulva; keabnormalan pada kulit, mungkin kulit di vulva nipis (lichen sclerosus) atau tebal (hiperplasia) atau kombinasi kedua-duanya.

Bila ia nipis, kulit kelihatan seperti kertas tisu dan bukaan faraj mengecil. Bila tebal pula, jelas kelihatan tompokan keras di kulit seperti kulit lembu. Warnanya mungkin putih, merah dan jelas sekali gatal serta rasa seperti terkena air panas.

Biopsi perlu untuk mengenal pasti puncanya. Ubat-ubat sapu diberikan buat sementara waktu.

* Vulva Intraepithelial neoplasia (VIN). Keadaan ini sangat jarang berlaku, merupakan lesi yang menuju ke arah kanser.

Ia menimbulkan kegatalan kulit, kulit menampakkan tompok yang timbul, mempamerkan warna yang nyata berbeza dengan sekelilingnya. Ia mungkin hadir tanpa apa-apa rungutan.

Pemeriksaan kolposkopi seperti pemeriksaan untuk pangkal rahim dan biopsi perlu dilakukan. Lazimnya, boleh dirawat dengan pembedahan kecil.

* Kanser radang; berlaku pada kulit vulva yang mengalami iritasi berlarutan dan juga VIN yang tidak diendahkan.

Kulit menjadi gatal, berdarah dan tidak selesa. Ketumbuhan atau ulser mungkin terjadi. Bau jadi tidak menyenangkan. Kelenjar limfa mungkin membengkak di celah kelangkang.

Biopsi dan pembedahan perlu dilakukan supaya kanser tidak merebak ke bahagian lain. Kemoterapi dan radioterapi ataupun kedua-dua kombinasi mungkin perlu diberikan.

* Melanoma; juga merupakan kanser kulit, kelihatan seperti tahi lalat tapi mempunyai sisi-sisi sempadan yang tidak sekata. Juga memerlukan pembedahan.

“Oleh itu, pengenalan awal perlu dilakukan. Ia cukup mudah, puan sendiri atau bersama suami, berperanan untuk membuat pemeriksaan sendiri.

“Kemudian, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan dan rawatan lanjut. Lagi awal rawatan dimulakan bermakna peluang untuk sembuh juga bertambah cerah,’’ pesan Dr. Shah Reza.

Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

Ebook Seni Ciuman



Ranking: 5

{ 0 Komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

 
© Kamar Suami Isteri | All Rights Reserved