Jangkitan Kulat, Bakteria, Parasit Pada Kemaluan Wanita

Siapa tidak berat mulut hendak membincangkan masalah yang berlaku pada alat sulit mereka? Selagi boleh disimpan, perkara seperti ini dipendam jauh dalam hati dan satu-satunya orang yang layak mengetahui masalah yang menjadi rahsia peribadi itu hanya pakar sakit puan atau tuan.

Namun, masalah dihadapi wanita lebih rumit. Baik anak dara atau bersuami, tiada wanita terkecuali daripada mengalami keradangan atau jangkitan vagina (vaginitis). Vaginitis dianggap masalah biasa yang dialami wanita pada semua peringkat umur di seluruh dunia.

Kajian menunjukkan hampir 80 peratus wanita pernah mendapat jangkitan atau keradangan vagina (faraj) pada satu-satu masa sepanjang hayat mereka.

Bagaimanapun, hanya satu daripada lima (25 peratus) yang alami jangkitan ini berjumpa pakar sakit puan bagi mendapatkan rawatan.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan dan Ginekologi Kuala Lumpur, Dr Raman Subramaniam, berkata vaginitis adalah masalah yang memalukan dan merengsakan kerana ia menyebabkan wanita mengalami lelehan vagina yang tidak normal, berbau hanyir, gatal dan sakit.

Beberapa faktor mempengaruhi lelehan vagina iaitu umur dan perubahan paras hormon (sama ada disebabkan penggunaan alat perancang kehamilan, haid atau kehamilan).

Kadangkala alahan terhadap bahan kimia (contohnya sabun untuk mencuci pakaian) juga boleh menyebabkan keradangan vagina dan masalah ini hilang apabila penggunaan bahan kimia itu dihentikan.

Jenis keradangan bergantung kepada punca jangkitan, sama ada disebabkan bakteria, kulat atau parasit. Kajian menunjukkan sebanyak 27 peratus kes vaginitis disebabkan jangkitan kulat diikuti bakteria (21 peratus), parasit (lapan peratus) dan lain-lain (tiga peratus).

Secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada empat, iaitu:

a. Vaginosis bakteria — Ia berpunca daripada pembiakan keterlaluan satu daripada mikro organisma yang biasanya ada di dalam vagina dan mengganggu keseimbangan kehidupan bakteria di situ. Biasanya bakteria baik lebih banyak tetapi dalam keadaan ini, bakteria jahat membiak lebih cepat membentuk koloni.

Masalah ini boleh berjangkit melalui hubungan seks, tetapi ia juga didapati berlaku pada wanita yang tidak aktif seks.

Kumpulan yang berisiko tinggi mengalami jangkitan jenis ini ialah yang ada pasangan baru atau berbilang pasangan, menggunakan alat pencegah hamil (IUD) dan memancutkan air pada faraj selepas mengadakan hubungan kelamin bagi mengelak kehamilan.

Ini adalah punca jangkitan paling biasa di kalangan wanita dalam lingkungan usia yang boleh melahirkan anak. Ramai wanita hamil tidak sedar mereka mengalami jangkitan jenis ini. Antara gejala yang biasa dialami ialah:

# Lelehan vagina yang tidak normal dan berbau hanyir. Bau lelehan ini lebih kuat selepas mengadakan hubungan seks.

b. Jangkitan yis atau kulat — Kulat yang paling biasa menyebabkan jangkitan ialah Candida albicans. Dianggarkan tiga daripada empat wanita mendapat jangkitan kulat pada satu-satu masa sepanjang hidup mereka. Kulat ini wujud secara semula jadi dan tiada siapa tahu bagaimana ia boleh ada di tempat sensitif berkenaan.

Ini adalah jangkitan pada wanita yang tidak pernah mengadakan hubungan seks, tetapi ia juga boleh berlaku pada wanita yang berkahwin. Kulat ini juga boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian badan yang lembap seperti mulut, pelipat kulit dan lantai kuku.

Beberapa faktor boleh meningkatkan risiko seseorang wanita mengalami jangkitan yis, iaitu:

# Ubat (seperti antibiotik dan steroid)

# Kencing manis tidak terkawal

# Perubahan hormon (biasanya pada wanita hamil, mengambil pil pencegah kehamilan dan menopaus)

# Mandi buih, menggunakan alat pencegah kehamilan yang dimasukkan ke dalam rahim dan bahan pencuci faraj (semburan atau deodoran), kerap memakai pakaian lembap dan ketat tidak akan menyebabkan jangkitan yis, tetapi membuka ruang besar untuk mendapat jangkitan.

Antara gejalanya jangkitan yis ialah:

# Vagina rasa gatal (tanda utama), pedih dan sakit

# Berasa sakit ketika buang air kecil dan mengadakan hubungan seks

# Lelehan sama ada dalam keadaan berair atau pekat berwarna putih-kelabu seperti keju kotej

c. Trikomoniasis — Ia disebabkan organisma satu sel dipanggil Trichomonas vaginalis dan biasanya disebarkan melalui hubungan seksual. Pada lelaki, organisma ini menyerang saluran kencing, tetapi biasanya ia tidak menunjukkan gejala jangkitan.

Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan keradangan vagina, pintu rahim dan salur kencing jika menjangkiti wanita. Pada wanita hamil, parasit ini boleh meningkatkan risiko bersalin tidak cukup bulan. Jangkitan ini menyebabkan wanita mengalami gejala seperti:

# Lelehan vagina warna kuning kehijauan atau kelabu yang banyak

# Berasa tidak selesa ketika hubungan kelamin

# Vagina berbau

# Sakit ketika buang air kecil

# Kemaluan rasa gatal dan pedih

# Sakit di bawah abdomen


d. Vaginitis atropik — Jangkitan jenis ini lazimnya berlaku akibat perubahan hormon seperti selepas hamil atau ketika mengambil pil perancang keluarga. Jangkitan jenis ini juga kerap berlaku pada wanita menopaus (ketika atau selepas) yang mengalami kekurangan hormon estrogen. Apabila menopaus, penghasilan hormon estrogen merosot dan kekurangan ini membuatkan tisu faraj menjadi nipis dan kering yang menyebabkan wanita berasa gatal, rengsa dan sakit.

Pemeriksaan dan rawatan

“Seseorang wanita boleh mengalami lebih daripada satu jangkitan pada satu-satu masa. Lebih 30 peratus kes vaginitis membabitkan jangkitan bakteria dan fungus.

“Walaupun ia masalah biasa, wanita perlu mendapatkan rawatan pakar kerana punca vaginitis tidak boleh ditentukan melalui gejala atau pemeriksaan fizikal saja.

“Tiada satu gejala khas boleh menentukan jenis jangkitan yang dialami seseorang wanita. Malah, ada juga wanita yang tidak alami gejala jika ia disebabkan jangkitan parasit, tetapi 90 peratus kes menunjukkan gejala. Kadangkala gejala menjadi sangat teruk sehingga wanita tidak boleh tidur dan alami kesakitan,” katanya.

Menurut Dr Raman, bukan semua lelehan vagina berpunca daripada jangkitan. Sesetengah lelehan adalah normal jika ia berlaku di tengah kitaran haid (selepas haid), terutama bagi wanita muda berumur pertengahan 20 atau 30 tahun.

Selain itu, wanita yang menghidap penyakit seperti kencing manis tidak terkawal juga mempunyai risiko tinggi mengalami jangkitan kulat dan masalah ini hilang apabila paras gula dalam darah terkawal.

“Apabila anda alami jangkitan, segera jalani pemeriksaan. Pemeriksaan ini membabitkan soal selidik sejarah jangkitan faraj atau penyakit jangkitan kelamin, ujian rahim atau pH lelehan vagina.

“Doktor mungkin perlu mengambil sampel dinding rahim atau lelehan faraj untuk ujian makmal,” katanya ketika pelancaran terapi gabungan vaginitis, Neo Penotran yang mengandungi bahan antibakteria metronidazole (500 miligram) dan antikulat miconazole (100 miligram) anjuran Bayer Schering Pharma.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi Fakulti Perubatan Universiti Wayne State, Amerika Syarikat, Profesor Jack D Sobel, berkata antara ujian lain yang boleh dilakukan ialah pengesanan kadar pH (keasidan atau kealkalian) cecair faraj menggunakan kertas litmus.

Katanya, walaupun vaginitis mempunyai simptom kurang menyenangkan dan kelihatan ‘teruk’, ia mudah dirawat melalui pengambilan ubat oral atau supositori (yang dimasukkan ke dalam faraj).

Malah, kewujudan terapi gabungan yang mempunyai spektrum penyembuhan luas untuk jangkitan faraj dapat mengatasi masalah berbilang jangkitan.

Terapi gabungan ini sesuai untuk wanita yang mengalami jangkitan gabungan atau doktor tidak pasti jenis jangkitan yang dialaminya. Jika gejala yang dialami teruk, doktor mungkin memberi dua atau tiga jenis ubat serentak.

Jika vaginitis disebabkan jangkitan kulat, pasangan tidak perlu rawatan anti kulat, kecuali jika mereka mengalami jangkitan atau masalah kulit pada zakar.

Bagaimanapun, jika jangkitan disebabkan bakteria atau parasit yang boleh merebak dan berjangkit melalui hubungan seks, pasangan dinasihat mendapatkan pemeriksaan doktor.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN





Ranking: 5

{ 4 Komen... read them below or add one }

armouris berkata...

info tentang kulat kuku kat sini - Nail Fungus


6/01/2009 1:37 PG
Tanpa Nama berkata...

adakah jangkitan bakteria pada faraj sangat berbahaya pada wanita? bagaimana mengelakankan daripada terkena jangkitan tersebut?? boleh tolong saya.... ??


1/09/2012 3:52 PTG
jojo berkata...

tanpa nama,cari sya kat http://www.facebook.com/DLovellyOgingoShop


9/12/2012 8:15 PG
cik kaki ketawe berkata...

mcam mana nak elakan..dan jaga tanpa perlu berjumpa pakar sakit puan??


9/12/2012 8:15 PG

Catat Ulasan

 
© Kamar Suami Isteri | All Rights Reserved