Dapat isteri sisa rakan

Saya berkahwin hampir tiga tahun lalu dan ada seorang anak. Selama tempoh itu saya rasa sungguh bahagia. Namun, yang menjadi masalah kepada saya sejak setahun lalu ialah, saya tertekan dengan sejarah silam isteri.

Saya dapat tahu isteri saya pernah melakukan hubungan seks dengan bekas teman lelakinya. Berita ini saya dengar daripada mulut bekas teman lelakinya.

Sejak cerita itu masuk ke telinga, saya rasa dunia ini sungguh gelap. Sejak itu saya hilang rasa hormat kepadanya sebagai isteri dan ibu kepada anak saya.

Hubungan kami tidak semesra dulu, ibarat air laut yang pasang dan surut, tambahan pula saya panas baran dan berdendam. Saya cuba lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan pelbagai cara.

Bagaimanapun, setiap kali itu terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata bekas teman lelakinya: “Aku dah ‘projek’ berkali-kali dengan isteri kau. Pergilah tanya dia, tak kan dia tak mengaku dan kenal aku.”

Setiap kali hendak bersama, saya berasakan isteri saya terbayang dia melakukan hubungan seks dengan bekas teman lelakinya. Ini membuatkan saya hilang mood dan mula mencari salah.

Saya pernah terfikir untuk menceraikannya, tetapi saya kasihan pada anak kami yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa.

Namun, pada masa sama saya benci melihat muka isteri, terutama bila teringat kata-kata bekas teman lelakinya. Saya harap Dang Setia dapat membantu saya dalam hal ini.

RAUL
Perak

-----------------------

Masalah saudara memang rumit, namun yang merumitkannya lagi ialah saudara tidak bertindak secara proaktif untuk menyelesaikannya, tetapi memendamnya.

Apabila sesuatu masalah dipendam, ia sama sekali tidak akan selesai, sebaliknya bertambah rumit.

Dalam menangani masalah rumit ini, Dang Setia berpendapat saudara perlu lebih realistik, tidak bertindak terburu-buru dan bijak mengawal emosi.

Bagi Dang Setia, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memastikan apakah dakwaan kawan saudara yang juga bekas teman lelaki isteri saudara benar atau palsu.

Ada kemungkinan terhadap kedua-duanya. Mungkin benar isteri pernah ditiduri bekas teman lelakinya dan mungkin juga ia tidak benar, sebaliknya perkara itu sekadar rekaan bekas teman lelakinya untuk memporak-perandakan rumah tangga saudara.

Dia mungkin bertindak begitu kerana ingin membalas dendam selepas hasratnya untuk berkahwin dengan isteri saudara tidak kesampaian.

Justeru, cara terbaik untuk mengetahui sama ada ia benar atau palsu ialah bertanya soalan itu kepada isteri saudara. Dang Setia sedar tindakan ini bukan mudah, namun saudara sebenarnya tiada pilihan.

Mahu atau tidak, saudara perlu melakukannya dan perlu ada keberanian, ketabahan serta ketahanan mental untuk melakukannya. Ini kerana, jika jawapan isteri saudari tidak, tentu ia sungguh melegakan.

Namun, timbul juga pertanyaan, adakah saudara akan mempercayai kata-katanya atau masih berterusan diselubungi curiga dan syak wasangka yang sekali gus menyebabkan hubungan anda berdua terus dingin.

Bagaimana pula jika jawapan isteri saudara ya, maksudnya dia mengaku pernah tidur bersama bekas teman lelakinya. Apakah pula sikap dan penerimaan saudara? Apakah saudara sudi memaafkannya atau terus menjatuhkan pelbagai hukuman ke atasnya?

Saudara, soal hati dan perasaan saudara memang sukar diubah. Ia hadir secara semula jadi dan kita tidak boleh berpura-pura atau menipu diri sendiri untuk menidakkan apa yang sebenarnya kita rasa.

Jadi, yang mampu Dang Setia lakukan ialah sekadar memberi pandangan dan ada dua perkara yang Dang Setia mahu saudara fikirkan. Pertama, cuba bayangkan diri saudara di tempat isteri.

Dia sudah kehilangan dara dan Dang Setia yakin dia pasti menyesali keterlanjurannya. Apabila saudara melamarnya, tentu dia dihimpit dilema sama ada mahu berterus terang mengenai kisah silamnya atau merahsiakannya.

Jika berterus terang, dia bimbang saudara tidak sudi mengahwininya dan dia kemudian mengambil risiko dengan merahsiakan perkara itu. Nyata, langkahnya tepat sehinggalah saudara mengesan kisah hitamnya selepas hampir tiga tahun berkahwin.

Jadi, jika saudara di tempat isteri, apa agaknya perasaan saudara jika dituduh tidak jujur, sedangkan saudara menyesali keterlanjuran yang berlaku serta percaya berahsia adalah langkah paling baik yang wajar dilakukan?

Kedua, apakah sejarah kehidupan lampau isteri terlalu penting buat saudara? Selain itu, mana satu yang lebih penting, sejarah silam atau perlakuannya masa kini?

Andai kata saudara tidak diberitahu mengenai kisah silam isteri, bukankah persepsi positif saudara terhadapnya selama ini tidak akan berubah? Ini kerana saudara berpuas hati dengan perlakuannya kini.

Dang Setia berani berkata begitu kerana saudara sendiri menyatakan sepanjang dua tahun pertama perkahwinan, kehidupan saudara sungguh bahagia. Ini menunjukkan isteri saudara berjaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu dengan baik, sebagaimana saudara inginkan.

Oleh itu, wajarkah segala kebahagiaan itu digadaikan dek kesilapan lampaunya yang sangat dikesalinya? Berbaloikah juga saudara menjejaskan tumbesaran dan masa depan anak yang saudara kasihani semata-mata kerana kesilapan lampau isteri?

Akhir sekali, jangan lupa apa yang diajar Allah SWT dan Rasulullah SAW kepada kita umat Islam. Jika Allah SWT sentiasa bersedia mengampunkan hamba-Nya, begitu juga Rasulullah SAW yang sedia memaafkan kesilapan umatnya, bukankah kita sewajarnya mengikut contoh yang diberikan itu?

Dang Setia, Metro



Ranking: 5

{ 0 Komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

 
© Kamar Suami Isteri | All Rights Reserved